Search This Blog

Tuesday 6 March 2012

MB kecewa dasar Islam diejek

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mengejek dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan Pas di negeri ini.

Beliau berkata, perbuatan itu memalukan kerana seluruh rakyat termasuk bukan Islam melihat bagaimana orang Melayu Islam menghina agama sendiri.

“Kenapa orang Melayu Islam datang ke sini (Kelantan) nak ejek dasar Islam? Saya malu kerana orang bukan Islam melihat perkara ini,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan perbahasan titah Sultan Kelantan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, dasar Membangun Bersama Islam dengan menumpukan kepada ubudiyah, masuliyah dan itqan jelas bersumberkan al- Quran.

“Kita ambil semua itu daripada al-Quran bukan daripada mana-mana ideologi di dunia yang boleh diejek sesuka hati, kalau tolak al-Quran, tak jumpa jalan.

“Kita didik rakyat supaya apa sahaja yang kita lakukan mesti dengan taqwa kepada ALLAH SWT,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz meminta pelancong terutamanya dari luar negara agar menghormati tata susila ketika berkunjung ke negeri itu dengan tidak memakai pakaian yang menjolok mata.

”Ini tugas pihak berkuasa mengenai pelancongan agar memastikan suasana melancong di negeri ini berbeza berbanding negeri lain.

”Kalau di tempat mereka seperti di Eropah nak pakai apa pun tidak mengapa tetapi bila ke Kelantan ia sedikit berbeza dan mesti bersopan, berada di tempat awam mesti berbeza dengan di bilik air, mana bolah nak pakai pakaian sama,” katanya.

Wednesday 8 February 2012

Khalid dedah ‘sejarah’ Hasan

                                                                           yb khalid samad

                                                                     yb hasan ali



SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, mendakwa hubungan bersama bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dingin setelah enggan membantu Hasan menjadi Menteri Besar Selangor pada 2008.

Beliau berkata, hubungan bersama Hasan sebelum itu baik sehingga beliau dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya II oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia.

Menurutnya, pelantikan tersebut jelas menunjukkan, Hasan tidak menganggap beliau sebagai parasit, tetapi sebaliknya sebagai orang kanan dalam Pas Selangor.

“Pada 2008 hubungan mula berubah, apabila saya menolak berkerjasama dengan Umno yang dikemukakan (Hasan).

“Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hasan Ali akan dilantik sebagai menteri besar dan itu adalah apa yang ditawarkan Umno,” katanya dalam blog, semalam.

Khalid berkata, hubungan menjadi lebih rapuh setelah beliau menamakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

“Beliau terdiam, kecewa, mungkin beliau merasakan saya mengkhianati nya.

“Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanan memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi menteri besar,” katanya.

Khalid mendakwa, setelah pelantikan menteri besar selesai, Hasan berusaha menimbulkan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor.

Menurutnya, Hasan berusaha mencari peluang menunjukkan perbezaan antara Pas dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran antara parti komponen PR.

“Saya sering mengingatkan beliau tentang keputusan muktamar Pas yang diadakan di Ipoh supaya PR diperkukuhkan.

“Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu,” katanya.

keputusan liga super semalam.

Tuesday 7 February 2012

Hasan diminta telus sebab jumpa Umno pada 2008

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa bekas pemimpin parti itu, Datuk Dr Hasan Ali untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan bercita-cita untuk menjadi menteri besar Selangor.

Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri itu, dipecat daripada parti itu baru-baru ini kerana menimbulkan masalah kepada parti.

Husam (kiri) berkata Hasan harus telus mengenai peranannya dan sebab-sebab beliau bertemu dengan pemimpin Umno sejurus selepas pilihan raya umum 2008, dan bukan sebaliknya mencaci PAS dalam program jelajahnya.

Beliau mendedahkan bahawa Hasan telah menemui pemimpin Umno di Selangor pada 10 Mac - dua hari selepas Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum tersebut, dalam percubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

"Tetapi pemimpin PAS telah menolak terus idea tersebut, maka beliau tidak berjaya dalam percubaannya untuk menjalin hubungan antara parti kita dan Umno," kata Husam ketika ditemui di Pulau Pinang.

Husam, yang juga ADUN Salor berkata, beliau berada di Kedah pada 9 Mac 2008 untuk membantu Kedah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Pada 10 Mac beliau berada di Perak, untuk membantu menubuhkan "kerajaan rakyat" sebelum negeri itu dirampas oleh BN pada bulan April, selepas tiga ADUN meninggalkan Pakatan.

"Saya telah dimaklumkan mengenai rancangan Hasan (kanan) kerana pada hari yang sama, beliau telah mengatur mesyuarat dengan (pemimpin) Umno dan topik perbincangan ialah untuk menggabungkan PAS dan Umno.

"Jika rancangan itu berjaya, Hasan sepatutnya menjadi menteri besar Selangor.

"Tetapi kerana prinsip dan komitmen kami kepada Pakatan Rakyat, maka pemimpin PAS menolak cadangan tersebut," tegas Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan.

Hasan, ADUN Gombak Setia, telah menafikan pernah mahu menyertai Umno, dan menegaskan beliau disingkir daripada PAS kerana pendirian tegasnya mempertahankan Islam dan kempen menentang kes murtad yang "berleluasa" di kalangan umat Islam.

Tetapi, tegas Husam lagi, Hasan masih bercita-cita untuk menjadi MB, dan ini, tambah naib presiden PAS itu, terbukti melalui kecaman berterusan (Hasan) terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sunday 5 February 2012

Mengharukan: Kisah Pak Teh mahang, Pejuang Tua Dalam PAS


                                             pak teh bertongkat. ketika himpunan bersih 2.0

"Pak Teh hampir menjangkau 90 tahun umurnya. Dalam usia selanjut itu, Tuhan masih memberi kesihatan kepadanya sehingga dia mampu untuk bekerja dan bergerak ke sana ke mari. Jangan terkejut kalau diberitahu bahawa beliau ialah ahli Unit Amal PAS. Usia dan kudrat yang semakin terhakis tidak pernah dijadikannya sebagai alasan untuk tidak berjuang. Memang teramat sukar untuk mencari di dunia ini manusia setua ini yang masih sanggup menginfakkan tenaganya untuk Islam.

Pak Teh adalah seorang miskin dan mempunyai beberapa orang anak dan cucu-cicit. Hidupnya susah namun kecintaannya dan komitmennya terhadap perjuangan mendaulatkan Islam amat dikagumi. Kata Pak Teh, “ saya dah rasa susah hidup di dunia. Jadi saya tidak mahu susah pula apabila di akhirat nanti” Itulah kata-kata suci yang pernah terpancul dari mulut orang tua kampung ini. Maka tidak hairanlah sejak muda hingga tua Pak Teh istiqamah mengikuti aktiviti-aktiviti Unit Amal di seluruh pelosok tanah air hatta ke Sabah sekalipun selagi ada orang sanggup membawanya.

Apakah peranan orang tua ini? Kerjanya ialah kerja yang biasa dilakukan oleh anak-anak muda iaitu menampal poster, mencacak dan menggantung bendera dan selalunya dialah yang sering menjadi tukang masak dalam program-program parti.

Kini Pak Teh telah menemui Tuhannya akibat satu kemalangan. Jenazah orang tua yang tidak dikenali ramai ini telah disembahyangkan oleh orang ramai sehingga melimpah masjid malah kubur beliau telah dikunjungi sampai ke waktu malam. Bagai tidak munasabah situasi ini berlaku kepada seorang tua yang tidak terkenal di cawangan. Adakah antara yang ramai itu juga terdiri daripada para malaikat? WalLahu’alam. Yang pasti ialah ramai yang mengenalinya menumpahkan air mata apabila mengimbas pada perjuangannya.

Mudah-mudahan roh Pak Teh sedang berada dalam golongan hamba-hamba Allah yang saleh. Demikianlah apa yang diceritakan oleh Ustaz Rosli Jabar melalui kuliah beliau. Pak Teh bukanlah insan contoh yang wujud pada zaman Nabi s.a.w. atau para sahabat. Pak Teh ialah model pejuang tulen pada era globalisasi ini. Aku rasa malu pada Pak Teh. Sebagai orang muda aku hanya mampu menulis artikel ini sedangkan Pak Teh setua itu mampu berjuang di tengah gelannggang jihad fi sabilillah. Anda pula pada darjat mana?

Cinta Seorang Pensyarah Korea Terhadap Tulisan Jawi


Oleh Fadzli Ramli

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Ketika budaya K-pop popular dan diminati kalangan generasi muda negara ini, seorang ahli akademik Korea Selatan pula mengakui beliau menyukai tulisan jawi.

Penulis berpeluang menemu bual Prof Dr Kang Kyoung Seok dari Busan University of Foreign Studies, yang memberikan pandangannya mengenai tuliasn jawi dan budaya Melayu.

Dr Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi, yang disifatkannya begitu indah.

"Budaya Melayu ini, daripada lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut membuatkan saya jatuh cinta terutama lenggok tulisan jawi," kata Dr Kang.

CINTA KEPADA TULISAN JAWI

Cinta Dr Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah universiti di Korea Selatan.

"Pensyarah saya masa itu beritahu bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi nama tulisan jawi. Bila saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya tidak tahu.

"Di Korea masa itu tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai jawi pula amat kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji tulisan ini," katanya.

Pada 1982, pertemuan Dr Kang dengan seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal dari Pattani, Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya dengan tulisan jawi.

Melalui Abdul Ghani, Dr Kang mengenali huruf jawi dan sistem penulisan ini. Buku tulisan jawi bertajuk 'Sejarah Melayu Pattani', menjadi kegemarannya pada masa itu.

Dr Kang membulatkan tekadnya untuk pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi dan pada tahun 1984 impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.

Namun persepsi rakyat Korea Selatan terhadap Malaysia pada masa itu menjadi cabaran besar bagi Dr Kang dalam merealisasikan impiannya.

"Masa itu Korea Selatan tidak mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita sekarang kawan baik. Dulu orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang mundur, miskin dan banyak masalah.

"Ibu bapa saya masa itu menangis tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia, tetapi saya sudah cintakan tulisan jawi dan saya mahu pergi belajar tulisan itu di Malaysia," katanya.

Setelah melakukan kajian terhadap tulisan jawi sejak sekian lama, Dr Kang mengakui amat tertarik dengan kitab Al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat umat Islam di seluruh dunia.

"Paling menarik perhatian saya bagaimana tulisan jawi dalam kitab Al-Quran mampu menghasilkan cara bacaan yang amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah Al-Quran, amat indah dan buat jiwa saya tenteram," katanya.

JAWI, PENYAMBUNG LEGASI BANGSA

Dr Kang berkata generasi muda Malaysia sekarang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa.

"Tulisan jawi sekarang sudah tenat, tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar jawi juga semakin berkurangan kerana ramai pakar yang saya kenali telah bersara tanpa ada pengganti," katanya.

Dr Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010.

"UPSI sebuah universiti yang mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini tulisan jawi, mereka akan ajar tulisan jawi ini kepada anak murid mereka, yang juga generasi muda negara ini. Maka semakin ramai tahu tulisan jawi," katanya.

Beliau berkata pelbagai langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada sistem ejaan jawi Za'ba yang lebih ringkas dan mudah difahami.

Media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas. Dr Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat Malaysia.

Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi.

MALAYSIA 'CIKGU' SAYA

Mengimbau kenangan Dr Kang semasa pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah ini, Dr Kang menyedari persepsi rakyat Korea terhadap Malaysia meleset sama sekali.

"Keluar lapangan terbang saya lihat kemajuan Malaysia di sana sini, bangunan tinggi. Macam-macam jenis kereta saya jumpa, kereta mewah seperti BMW dan Mercedes pun ada," katanya.

Selain itu, beliau turut tertarik kepada keunikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang hidup aman damai dan bekerjasama dengan baik bagi memajukan negara.

"Masa saya datang ke Malaysia, saya amat tertarik dengan konsep ini kerana masa itu Korea tidak banyak campuran bangsa di sana. Bila dunia semakin berubah, sekarang ramai bangsa lain datang ke Korea.

"Jadi Korea belajar untuk sesuaikan diri dengan pelbagai bangsa ini, tetapi Malaysia sudah lama belajar tentang ini dan saya belajar dengan Malaysia," katanya.

Dr Kang turut tertarik dengan percampuran budaya antara kaum di negara ini, mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri seperti masyarakat baba nyonya di Melaka.

Beliau berkata masyarakat berbilang kaum ini membuatkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kaya dengan pelbagai kesenian dan kebudayaan yang diwarisi sejak berkurun lamanya.

"Apa yang menarik perhatian saya bagaimana budaya Melayu boleh berada di tengah-tengah dan menjadi pengikat semua budaya ini. Budaya Melayu ini amat istimewa, memang ramai pengkaji asing yang sukakanya termasuk saya," katanya.

Dr Kang berpesan kepada generasi muda Malaysia: "Bagus jika kita memahami budaya lain dan tidak salah meminati K-pop. Tetapi jangan kita terlalu taksub hingga budaya dan identiti sendiri dipinggir dan dilupakan," katanya.

-- BERNAMA