Search This Blog

Tuesday 28 June 2011

Sewa rumah PM, TPM RM18,000 sehari

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Jika dibahagikan, secara mudahnya kos sewa bagi kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya lebih RM18,000 untuk sehari.

Kos baik pulih pula mencecah RM60,000 sebulan, bil elektrik RM5,704 sehari dan bil air RM1,092 sehari.

"Dari satu sudut, rakyat disuruh berjimat, agensi kerajaan disuruh berjimat, tiba-tiba untuk dua pemimpin negara ini, wang rakyat diguna sebanyak itu", kata Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu, Dr Siti Mariah Mahmood (PAS-Kota Raja) dan Anthony Loke (DAP-Rasah).

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS sebelum ini menanyakan kepada kerajaan berhubung jumlah pembiayaan kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri setiap tahun bermula tahun 2006 hingga 2010.

Dalam jawapan bertulis semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menjelaskan kerajaan membelanjakan RM48,789,115.03 setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi kedua-dua pemimpin negara itu.

Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.

Untuk rekod, kedua-dua rumah kediaman rasmi itu adalah disewa oleh kerajaan daripada Perbadanan Putrajaya.

"Rumah bernilai berjuta-juta, kita tak tahu apa yang dibaik pulih setiap bulan," katanya lagi sambil mendakwa ia satu pemborosan melampau.

Tak rasa kesusahan rakyat

Anthony Loke dalam pada itu berkata, tidak hairanlah jika pemimpin negara ini memotong subsidi rakyat dengan menaikkan harga barangan seperti gula dan petrol.

Ia kerana, pemimpin negara tidak pernah merasai kesusahan rakyat kerana tenggelam dalam kehidupan mewah dan boros mereka.

"Saya tinggal dengan ibu bapa saya di rumah, maksimum bil elektrik saya RM150 sebulan. Bil setahun elektrik rumah rasmi PM dan TPM boleh bayar boleh bayar untuk 100 tahun bil elektrik saya.

"Kalau bil air, di Selangor subsidi 20 meter padu iaitu RM11, cukup untuk dua orang guna satu bulan.

"Kalau RM32,789 sebulan di kediaman rasmi PM dan TPM, bermakna ia diguna lebih kurang 5961 orang.

"Ini satu angka yang memeranjatkan," katanya.

Berita berkaitan:
Kos lawatan Najib, Rosmah RM17 juta
RM49 juta biaya rumah PM, TPM

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

  Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

  Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

  Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
 v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

 x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

  Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Monday 27 June 2011

Bila Wardina bersama program Pakatan Rakyat..jangan la pulak ada yg nak 'gam-gam' pulak yee..!!! Wardina Safiyyah Secara Terbuka Sokong Pakatan Rakyat


Sudah pasti ramai yang cukup mengenali wajah salah seorang pengacara siaran pagi di TV3, Malaysia Hari Ini [MHI]. Wajah wanita bertudung diatas itu adalah Wardina Safiyyah….

Wardina Safiyyah 32 tahun, mula melonjakkan namanya ketika melakonkan watak dalam siri sitcom telivsyen “Spanar Jaya” bersama Opie Zami anak Allahyarham Zami Ismail.

Ketika itu Wardina belum lagi bertudung…, membawa imej gadis seksi dan memiliki wajah kacukan….

Mutakhir ini, kemunculan Wardina hanya boleh kita tatapi setiap pagi menerusi slot MHI di saluran TV3 yang dikuasai pengurusannya oleh Media Prima.





Baru baru ini Wardina pernah menggemparkan pentas politik media maya menerusi perang Facebook, Tweeter dan Blog apabila tercetusnya cerita Wardina secara sinis mahu aktif politik tetapi bukan bersama komponen kerajaan BN….

Semalam semakin terserlah apabila tersebar beberapa gambar gambar Wardina menyertai program pemimpin kerajaan negeri bersama rakyat.

Gambar di atas juga…, Wardina sedang berucap dalam majlis tersebut…!!

Manakala gambar di atas ini pula, Wardina bersantai untuk duduk minum minum dengan pimpinan PKR, Azmin Ali dan Nik Nazmi. Malah yang duduk bertentangan dengan Wardina dengan jelas mengenakan pakaian T Shirt BERSI
 

Sunday 26 June 2011

Dihalau keluar masjid kerana pakai baju Bersih

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar berasa kesal dengan sikap angkuh salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Bandaraya, Likas, yang menghalau seorang pemuda daripada menunaikan solat di masjid itu semata-mata kerana memakai baju Bersih. (Gambar kanan)

Blog Pemuda PAS Sepanggar melaporkan kejadian yang berlaku di masjid tersebut kelmarin dapat dilihat oleh seluruh ahli kariah yang turut sama bersolat di masjid tersebut.

Pemuda yang tidak mahu namanya dikenali itu, sememangnya sering bersolat di masjid tersebut telah dihalau keluar dari masjid ketika selesai bersolat Maghrib.

Selain menghalau pemuda tersebut, AJK masjid tersebut telah mengeluarkan kata-kata kesat dengan menuduh pemuda tersebut sebagai munafik.

Tidak cukup dengan kata-kata kesat, beliau turut menolak pemuda tersebut dengan kasar.

Situasi yang memalukan itu akhirnya dileraikan oleh salah seorang ahli kariah yang masuk campur                                                                                                                                                                                                    


Ahli kariah itu dengan nada yang tegas telah menegur AJK masjid tersebut kerana sikapnya yang memalukan itu. (Gambar atas)

Beliau membela pemuda tadi, dan memarahi AJK masjid tersebut kerana menghalau anak muda dari bersolat semata-mata kerana mamakai baju Bersih.

Justeru, Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar melihat perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

Sehubungan itu, DPP Sepangar menggesa agar Jawatankuasa Masjid Bandaraya segera mengambil tindakan terhadap AJK masjid tersebut di atas sikapnya yang merosakan imej Masjid Bandaraya yang sememangnya terkenal di kalangan para pengunjung dan pelancong.

Mengenai himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini, DPP Sepangar menyeru seluruh rakyat Sabah agar berpakaian berwarna kuning dan keluar ke bandar-bandar beramai-ramai bersama keluarga.

Tujuh Perkara Ganjil Jasad Di Dalam Kubur

"Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, “Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.

Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?” tanya pemuda itu.

” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, ” Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai anak muda, mereka itulahgolongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,”

Pemuda itu menyambung lagi, ” Wahai tuan guru, golongan yangketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”

” Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.

” Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah itu, ” Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya.”

” Kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya,” sambung pemuda itu.

” Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.


” Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,”

” Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya,” jawab ahli ibadah tadi.

” Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?” tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya.”

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah.
Meninggalkan dunia dengan senyuman

Wallahua’lam..

(sumber)
"

Sunday 19 June 2011

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

 KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.

Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Opie Zami, 37, berkata ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.

"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat Institut Jantung Negara (IJN), di sini, Ahad.

Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.

"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.

Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.

Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Opie Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.

Friday 17 June 2011

Anak Najib, Nooryana Najwa bertunang warga Kazakh

 
Tuanku Mizan Zainal Abidin bertanya sesuatu kepada Noorhayana Najwa sambil diperhatikan Tuanku Nur Zahirah, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang Hajah Kalsom, Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor di kediaman rasmi Perdana Menteri, Putrajaya, malam tadi. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 17 Jun – Noorhayana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor secara rasmi bertunang dengan Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya, malam ini.

Majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara.

Antaranya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tun Abdullah Badawi, menteri kabinet, timbalan menteri serta pegawai kanan kerajaan pusat dan negeri.

Hadir sama ibu Najib, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamad Noah.

Kenamaan asing yang turut hadir termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan isteri Sheikha Salam binti Hamdan Al Nahyan serta Pengerusi Medina Council Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud.

Nooryana Najwa, 22, merupakan lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat (AS), sementara Daniyar, 22, menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York.

Pasangan itu bertemu ketika menuntut di AS. – BERNAMA

Saturday 11 June 2011

Senarai Gaji Perdana Menteri Malaysia & Gaji Menteri Malaysia serta MB dan exco

patut laa depa pulon sungguh nak pertahankan kuasa yg telah depa dok pegang selama 50thn nie...

Apa punya kompony.. BOS gaji kecik KULI gaji besaq....

Ibarat kat sebuah negara.. RAKYAT merempat kais pagi makan pagi kais petang makan petang tapi PEMIMPIN duduk senang lenang makan gaji hasil duit rakyat
Senarai Gaji Perdana Menteri Malaysia & Gaji Menteri Malaysia :
Perdana Menteri – RM 22,826.65 sebulan
Timbalan Perdana Menteri – RM 18,168.15 sebulan
Menteri-Menteri Kabinet – RM 14,907.20 sebulan.
Timbalan Menteri-Menteri – RM 10,847.65 sebulan
Setiausaha Parlimen - RM 7,187.40 sebulan
Ahli Dewan Negara – RM 6,508.59
Ahli Dewan Rakyat – RM 4,112.79
Elaun-elaun Menteri? Elektrik, minyak, majlis-majlis keramaian, bil telefon, bil air, bil elektrik, bercuti, driver, kereta dan lain-lain lagi. Semuanya ditanggung

Formula untuk pengiraan elaun mantan Ahli Parlimen:
Pencen: 1/144 x tempoh perkhidmatan (bulan) x Gaji
Minimum pencen dapat ialah separuh dari gaji MP. Bermakna kalau jadi MP satu penggal pun akan dapat pencen paling sikit pun RM 2,056.40. Lagi lama berkhidmat sebagai MP, lagi banyak pencen dia akan dapat.
Ini tidak termasuk elaun perjalanan, penginapan dan peribadi yang boleh dipinta sekiranya Ahli Parlimen menghadiri penggal sessi persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Gratuiti: 1/48 x Gaji x 12 x tempoh perkhidmatan (bulan)

Saya sambung pula gaji Menteri Besar, Exco di negeri-negeri lain. Jikalau gaji Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen adalah tertakluk di bawah peruntukan kerajaan persekutuan, tetapi untuk Menteri Besar, gaji Exco negeri-negeri adalah di bawah peruntukan kerajaan negeri.

Setiap negeri ada enakmen mereka dan gaji ni semua adalah di bawah Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan). Di bawah ini adalah contoh gaji Menteri Besar dan exco di sebuah negeri.
Menteri Besar – RM14,175.15
Anggota Exco kerajaan negeri – RM6,109.29
ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) – RM4,112.79
Anda mungkin juga meminati:

Monday 6 June 2011

Habuan atau harga diri pemain?

KEBELAKANGAN ini, isu rasuah semakin hangat, makin membarah dan didakwa menular semula dalam sukan bola sepak Malaysia. Mungkinkah gejala 1994 berulang dan adakah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akan mengharamkan pasukan bola sepak di negara ini.

Lihatlah apa terjadi pada 1994 dan 1995 apabila lebih 120 pemain, jurulatih dan pegawai disiasat polis kerana dakwaan mengatur keputusan perlawanan bola sepak menyebabkan hampir 60 pemain dan jurulatih dikenakan tindakan gantung setahun hingga empat tahun.

Seramai 21 pemain dan jurulatih diberhentikan, manakala beberapa pemain dibuang daerah dan tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kesannya, Malaysia kehilangan ramai pemain handalan.

Kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan oleh negara. Ia juga punca sebahagian besar minat penyokong setia bola sepak hancur.

Pada 2008, kerana rasuah lima pemain Sarawak dipanggil polis untuk memberi keterangan. Mereka berdepan hukuman gantung semua perlawanan tempatan dan antarabangsa.
Baru-baru ini, sebuah pasukan di utara tanah air berdialog mencari punca kemerosotan pasukan kesayangan mereka.

Cakap-cakap mulut pemain mengambil jalan pintas dengan menerima rasuah disebabkan gaji yang tidak cukup dan lambat dibayar majikan.

26 Mei lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis mengenai dakwaan isu mengatur perlawanan dalam kalangan pengurusan serta pemain Piala Presiden.

Peminat pastinya kecewa apabila semangat yang dibawa untuk menyaksikan perlawanan pasukan mereka sebenarnya didalangi ‘raja tangkal pengeras’ sehingga sorakkan menjadi sia-sia.

Jika gejala ini berterusan, yakinlah bola sepak Malaysia tidak akan mampu menjejak kaki walaupun di hadapan pintu stadium Piala Dunia.

Tepuk dada tanya selera!

Saturday 4 June 2011

PAS mahu PTPTN ditukar kepada biasiswa

Perwakilan PAS mendesak kerajaan menukarkan pinjaman Perbadanan tabung perdidikan tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa kerana ia didakwa melanggar perlembagaan negara.

“Saya menyokong penuh cadangan menghapuskan PTPTN dan ditukar kepada biasiswa kerana pinjaman ini telah menyebabkan ramai antara kita terhimpit dengan hutang,” kata Wakil Pemuda PAS Kamal Ashaari.

Dalam sesi perbahasan dalam muktamar PAS ke-57 di Gombak hari ini, Kamal berkata pinjaman itu menyebabkan anak muda terhimpit dengan beban hutang yang besar selepas tamat pengajian.

Malah, tambahnya, mereka dikenakan beberapa sekatan, termasuk tidak dibenarkan ke luar negara.
Sebelum ini, usul yang hampir sama dibentangkan dalam muktamar Pemuda kelmarin.

Usul itu antarnaya mendakwa Seksyen 22A Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) dan Pekeliling PTPTN Bilangan Satu Tahun 2009 - yang menyenarai hitamkan peminjam - patut dipinda.

Sementara itu, Kamal juga mengharapkan supaya perwakilan dalam muktamar kali ini memperkasakan daftar pemilih dengan menyuruh anak mereka mendaftar sebagai pengundi.

"Dan ingatlah bahawa dalam sistem demokrasi hanya satu undi dapat mengubah kerajaan zalim yang sedia ada,” katanya.