Search This Blog

Monday, 11 July 2011

Kematian peserta Bersih: BN tumbang PRU 13?

Kematian seorang peserta protes Bersih 2.0 baru-baru ini, Baharuddin Ahmad bakal meningkatkan lagi tekanan ke atas Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

PAS melalui Datuk Husam Musa telahpun membuat kenyataan menuntut kerajaan bertanggungjawab atas kematian Baharuddin yang dikaitkan dengan tindakan keras pihak berkuasa terhadap peserta demonstrasi.

Husam dilaporkan media mendakwa Baharuddin meninggal dunia selepas sesak nafas kesan semburan air berasid dan gas pemedih mata di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kematian ahli PAS itu dijangka akan terus menjadi isu utama yang menjejaskan pemerintah sehingga ke pilihan raya umum akan datang, yang kini mungkin akan diadakan lebih lewat.

Di negara-negara mengalami kebangkitan rakyat sebelum ini, kematian seperti ini dijadikan kempen menggugat rejim memerintah sehingga membawa kepada tumbangnya kerajaan.

Di Tunisia, kematian seorang penjual buah, Mohamad Bouazizi pada awal Januari tahun ini menjadi isu tumpuan sehingga mencetuskan protes besar-besaran yang akhirnya menjatuhkan rejim memerintah.

Di Mesir, kematian Khaled Said mencetuskan kemarahan ramai dan menjadi satu simbol penentangan terhadap rejim Presiden Hosni Mubarak, yang akhirnya tumbang selepas tercetus kebangkitan besar-besaran.

Khaled menjadi satu simbol untuk membina sokongan menentang rejim Mubarak. Kumpulan Facebook We Are All Khaled Said menjadi salah satu elemen yang membina kebangkitan menentang kerajaan Mesir ketika itu.

Sebelum itu, di Iran pada 2009, kematian Neda Agha-Soltan turut menjadikannya simbol penentangan terhadap kepimpinan republik itu, sehingga mencetuskan protes besar-besaran yang menggugat pemerintah. Kerajaan pimpinan Presiden Mahmoud Ahmadinejad walau bagaimanapun tidak berjaya dijatuhkan.

Pakatan Rakyat, penggerak utama perhimpunan Bersih kedua semalam menyifatkan demonstrasi semalam sebagai berjaya mencapai matlamat. Kematian Baharuddin dijangka mencetuskan lagi protes dalam pelbagai bentuk terhadap pentadbiran Najib.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam dalam sidang media menyatakan perhimpunan 9 Julai hanya mukadimah kepada kebangkitan rakyat.

No comments:

Post a Comment